BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan dua buah kilang kitar semula plastik di Kawasan Perusahaan Perai, Pulau Pinang menghentikan operasi serta merta selepas didapati menyebabkan pencemaran air, udara dan bunyi.

Arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati kilang itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata arahan menghentikan operasi dibuat di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi membolehkan siasatan lanjut diadakan.

Sharifah Zakiah berkata pemeriksaan JAS mendapati salah sebuah kilang berkenaan menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Kilang itu menggunakan mesin penghancur plastik dan menghasil resin hingga menyebabkan bunyi bising kepada penduduk berhampiran terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

“Pada masa sama kilang itu yang mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik juga didapati menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian,” katanya

Sharifah Zakiah berkata, pemeriksaan JAS ke atas sebuah lagi kilang didapati gagal mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara kotak sembur.

“Melalui siasatan kilang itu menjalankan operasi pengacuan plastik yang menjadi punca pencemaran habuk hitam ke kawasan berhampiran.

“Oleh itu, kedua-dua kilang itu diarahkan menghentikan operasi bagi membolehkan siasatan lanjut diadakan pihak JAS sekali gus memastikan pencemaran ini tidak berlaku secara berterusan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Orang awam yang ingin membuat aduan atau menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh menghubungi JAS di talian bebas tol di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my