Dua projek pertanian diberikan notis arahan sementara satu projek menerima tindakan kompaun dalam 14 penguatkuasaan sehingga Jun lepas.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (MEWA), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, ia merupakan pemantauan secara berkala di peringkat pelaksanaan projek bagi aktiviti-aktiviti pertanian atau peladangan.

Jelasnya, pemantauan itu tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

“Pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air meningkatkan pemantauan aktiviti-aktiviti pertanian atau peladangan yang mempunyai kelulusan EIA melalui kaedah pemeriksaan di tapak bagi melihat keberkesanan pelaksanaan projek untuk pematuhan syarat-syarat EIA.

“Mewajibkan penyediaan orang yang berwibawa yang bertanggungjawab dalam pengurusan alam sekitar di tapak projek dan pelaporan pengawasan kualliti udara dan kualiti air secara berkala.

“Selain itu, pelaksanaan audit pihak ketiga bagi melaksanakan audit alam sekitar di bawah Seksyen 33A,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bertanyakan Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenai usaha kementerian dalam meningkatkan pemantauan aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar dapat terpelihara.

Jelasnya, pada tahun 2019 sebanyak 31 penguatkuasaan telah dilaksanakan di projek pertanian yang telah mendapat kelulusan Prosedur Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), sebanyak lapan projek telah diberikan notis arahan dan dua projek dikenakan tindakan mahkamah.

Sementara itu katanya, bagi kes pembakaran terbuka, pada tahun 2019 sebanyak 178 kes pembakaran terbuka di ladang kelapa sawit telah dilaporkan di seluruh negara dan diambil tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Manakala bagi ladang getah sebanyak 26 kes telah diambil tindakan.

Pada tahun 2020 sehingga 2 Julai pula kata Ahmad Masrizal, sebanyak 74 kes pembakaran terbuka di ladang sawit dan 19 kes pembakaran terbuka di ladang getah di seluruh negara telah diambil tindakan di bawah akta yang sama.