Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca dasar Sungai Pengorak di sini, berwarna sedikit kehitaman selain mengeluarkan bau kurang menyenangkan pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang Rosli Zul yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada tengah hari Sabtu berkata pegawainya telah mengambil lima sampel termasuk empat sampel air sungai itu pada waktu petang.

"Pegawai terlibat juga telah menyusur sungai untuk mencari kawasan yang berpotensi menjadi punca pencemaran, namun setakat ini puncanya masih tidak dapat dikesan.

"Sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa dan pemerhatian mendapati air sungai masih jernih, namun dasarnya agak hitam," katanya semasa dihubungi di sini, pada Sabtu.

Berhubung bau, Rosli berkata beliau difahamkan bau itu adalah bau limbah dan JAS akan berhubung dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bagi mendapatkan maklumat berkaitan tangki septik kumbahan di kawasan berhampiran sungai tersebut.

"Difahamkan banyak rumah di kawasan tersebut masih menggunakan tangki septik dan kita perlu tahu jika kawasan itu tidak melakukan pengosongan tangki atau telah lama tidak melakukannya," katanya.

-- BERNAMA