Jasad korban pertama banjir di Sarawak ditemui jam 5.50 petang Isnin oleh pasukan penyelamat kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Mangsa yang disahkan sebagai Judus Jalina, 20, dilaporkan hanyut ketika meredah banjir di Kampung Maan, Padawan malam Sabtu lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, jasadnya ditemui di dalam semak di kawasan kebun.

Mangsa ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terbaring.

Jasadnya kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian pada jam 9 malam Sabtu, mangsa bersama rakannya cuba menyeberang jalan yang ditenggelami air sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Rakan mangsa bagaimanapun terselamat selepas sempat berpaut pada dahan pokok.