Jasad seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh di sebatang sungai di Jalan Changkat Sulaiman pada Isnin lepas berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa, Mohd Shafiq Ridzuan, 20, dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pengukuran dan pelebaran sungai sebelum dihanyutkan arus deras ketika sedang menyeberangi sungai dan tidak dapat dikesan sejak Selasa lepas.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohamad Azlan Mahiyidin berkata mangsa ditemui kira-kira jam 11.05 pagi pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia dihanyutkan ketika melakukan kerja-kerja pengukuran sungai.

"Mangsa ditemui terapung dalam timbunan sampah yang berada 1.5 kilometer daripada lokasi dia terjatuh, iaitu di kawasan tengah-tengah sungai.

"Mayat mangsa kemudiannya diangkat oleh anggota SAR dan dibawa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, operasi berjalan selama dua hari dengan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, BBP Slim River, unit anjing pengesan K9 dan Skuad Barisan Nasional (BN).

"Seramai 60 orang yang terdiri daripada anggota Bomba dan Penyelamat, PDRM, RELA, Skuad BN dan JPAM," katanya lagi.