Mayat seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang lemas ketika mandi bersama dua rakannya di kawasan lombong emas, Sungai Kuala Balah, di sini, petang semalam ditemukan tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Faris Izwan Mohd Fazli dijumpai 1.5 kilometer dari lokasi beliau mandi sekitar jam 12.40 tengah hari tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, gerakan mencari mangsa yang bermula sejak petang semalam bagaimanapun gagal menemukan mangsa sehinggalah gerakan yang dimulai hari ini.

“Hasil bantuan penduduk kampung serta gerakan yang dijalankan oleh anggota bomba termasuk dari Unit Penyelamatan Di Air (PPDA) berjaya menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat yang disertai oleh 25 anggota termasuk 10 dari Unit PPDA telah melakukan pencarian sejak jam 7 pagi tadi, walaupun berdepan dengan kesukaran kerana air agak keruh,” katanya.

Mangsa merupakan anak kedua dari tiga beradik itu dikatakan mandi bersama dua lagi rakannya masing-masing berusia enam dan sembilan tahun sekitar jam 3 petang semalam sebelum mangsa dihanyutkan air.

Kedua-dua rakan mangsa kemudian memaklumkan kepada ibu bapa mengenai kejadian berkenaan sebelum pencarian dimulakan sekitar jam 4 petang semalam.

Menurut Mohd Adni lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.