Wujud beberapa faktor penyumbang yang mendorong kepada keadaan di mana pelajar menolak tawaran untuk meneruskan pengajian di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah .

Salah satu daripadanya, menurut dapatan pihak pengurusan yang menjalankan tinjauan, pelajar membuat keputusan untuk menerima panggilan program matrikulasi yang menawarkan pengajian dalam tempoh masa yang lebih pendek.

"Tinjauan juga mendapati, lokasi kampus yang jauh daripada rumah dan masalah kewangan turut menyumbang kepada penolakan tawaran tersebut," ujar Prof Dr Nasruddin Mohamed, Rektor UiTM Kampus Kuala Pilah kepada Astro AWANI.

Dalam satu kenyataan, beliau menekankan, jumlah pelajar di UiTM Kampus Kuala Pilah tidak dipengaruhi oleh pembukaan kampus-kampus berdekatan lain walaupun terdapat dua kampus UiTM lain di negeri itu.

"Setiap kampus tersebut menawarkan program yang berbeza, dengan permintaan daripada pelajar yang berbeza," kata Nasruddin.

Selain Kuala Pilah, Negeri Sembilan turut mempunyai dua kampus lain - Kampus Seremban 3 dan Kampus Rembau.

"Sehingga kini, jumlah pelajar di kampus UiTM Kuala Pilah telah mencecah seramai 2,000 orang, lanjutan daripada penawaran program baharu Diploma Pengurusan Halal (IC 120) di sini," tambahnya lagi .

BACA: UiTM Kuala Pilah Gajah Putih?

VIDEO: Kuala Pilah hab pendidikan

Kursus yang ditawarkan di UiTM Kuala Pilah adalah AS 201 Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi (AS 201), Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia (AS 202), Diploma Mikrobiologi (AS 114), Diploma Teknologi Makanan (AS 116) dan Diploma Teknologi Tekstil (AS 118) .

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith yang mengatakan kebanyakan kursus di UiTM Kuala Pilah tidak 'marketable', Nasruddin berkata beliau yakin kursus-kursus yang ditawarkan pihaknya masih menjadi keperluan.

"Ini selaras dengan anggaran oleh Majlis Kebangsaan bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB) yang menyatakan bahawa negara kita memerlukan kira-kira 500,000 saintis untuk berdepan dengan cabaran IR 4.0 nanti," katanya lagi.

Sehingga kini, UiTM mempunyai sebanyak 35 kampus di seluruh Malaysia dengan jumlah pelajar melebihi 165,000 orang.

Keluhan penduduk setempat

Dalam pada itu, hasil tinjauan Astro AWANI mendapati, penduduk rasa kesal kerana UiTM yang satu ketika dahulu dapat membantu sosio ekonomi mereka, kini tidak lagi mempunyai fungsi yang bermanfaat.

"Setahun sahaja saya dapat rasa nikmat itu. Dulu, masa UiTM itu baru dibuka, merasalah saya RM1,000 sebulan duit tambahan, sewakan rumah kepada budak-budak ini," kata Siti Nur Salbi Mohamad, 48 tahun, yang pernah menyewakan kediamannya kepada pelajar-pelajar UiTM .

Tambahnya, nasibnya baik kerana yang disewakan itu adalah rumahnya sendiri dan dia tidak terikat dengan bank untuk membayar pinjaman.

"Ada kawan saya yang siap buat rumah tiga tingkat khusus nak bagi budak-budak itu sewa. Tetapi bila dah siap, habis semua pelajar tak ada.

"RM300,000 nak kena bayar balik kepada bank. Orang kampung. Mana nak cari duit nak bayar pinjaman yang tinggi setiap bulan seperti itu. Kasihan.

"Sudahnya, rumah itu dibiarkan kosong begitu sahaja," katanya lagi.

Itri Haniff, 36 tahun, yang pernah membuka kedai di dalam kampus berkenaan menceritakan, dia melihat sendiri bagaimana hari demi hari pelajar UiTM tersebut makin kurang hingga akhirnya dia terpaksa menutup perniagaannya.

"Dulu, masa pelajar tengah ramai, memang rancak bisnes. Lepas itu, makin surut dan surut, sampailah hendak dapat RM20 sehari pun susah.

"Jadi, kami ambil keputusan untuk tutup dan keluar dari sini," ujarnya yang pernah menjalankan perniagaan perkhidmatan fotostat dan percetakan.

Apa yang mereka harapkan, UiTM Kuala Pilah akan kembali 'bernyawa' seperti dahulu.

Ia bukan sahaja dapat menghidupkan Kuala Pilah secara amnya, tetapi turut membantu menambahkan pendapatan penduduk kampung secara khususnya.