Tutup

Jauhi lokasi penemuan harimau - Polis

Jauhi lokasi penemuan harimau - Polis
Abd Malek (kiri) bersama timbalannya Ahmad Kamsul Alias (dua, kiri) melihat kesan tapak kaki harimau yang dipercayai berkeliaran di Kampung Besul, Bukit Besi hari ini. --fotoBERNAMA
DUNGUN: Polis memohon kerjasama orang ramai supaya menjauhi lokasi penemuan harimau di Kampung Besul, Bukit Besi di sini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata keadaan pada masa ini belum selamat sepenuhnya, memandangkan harimau berkenaan masih belum ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Beliau berkata tindakan segelintir penduduk kampung dan orang luar yang menjadikan lokasi kejadian itu seolah-olah suatu pesta amat dikesalkan dan diharap tidak akan berulang lagi.

"Walaupun harimau itu dikatakan jinak, ia tetap haiwan liar dan kami amat bimbang dengan tindakan orang ramai yang seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan diri.
"Tindakan provokasi seperti menyentuh dan mengerumuni haiwan itu mungkin akan menyebabkannya menjadi agresif dan jika berlaku serangan siapa yang patut dipersalahkan?," katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan kejadian itu Baharudin berkata pihaknya telah mengarahkan anggota polis dari Balai Polis Bukit Besi untuk mengawal keadaan di lokasi kejadian yang pada ketika ini masih didatangi pengunjung dari luar.

Orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa seperti polis dan Perhilitan menjalankan tugas masing-masing demi memastikan keselamatan mereka.

"Kepada mereka yang terpaksa melalui kawasan berkenaan kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan tolong berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.

"Untuk sementara waktu ini kurangkan juga aktiviti luar dan elakkan keluar malam sekiranya tidak ada urusan yang benar-benar perlu," katanya.

-- BERNAMA