Jawatan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah di Perak yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini akan ditamatkan serta merta, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu berkata pelantikan baharu jawatan akan dibincang oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Yong Choo Kiong dan akan diumumkan nanti.

"Dalam masa yang sama, semua kemudahan awam seperti dewan-dewan orang ramai dan sebagainya yang sebelum ini dikawal selia ketua-ketua kampung kini diambil alih sepenuhnya oleh Pejabat-pejabat Daerah atau Pejabat-pejabat Penghulu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pertama di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang dijadual berlangsung pada September ini, Ahmad Faizal berkata penganjuran itu akan diteruskan dan akan dikendalikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Lee Chuan How.

"Kita mengharapkan saudara Howard (Lee Chuan How) meneruskan semua perkara yang perlu disiapkan. Kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah meluluskan peruntukan tambahan bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukma berkenaan," katanya tanpa menyatakan jumlah tambahan berkenaan.

Sementara itu, Lee berkata beliau akan mengadakan tinjauan dan membuat pemerhatian secara menyeluruh di kesemua tapak penganjuran Sukma dalam memastikan persediaan penganjuran sukan tersebut.

"Saya juga akan berjumpa dengan kesemua yang terlibat dalam Sukma termasuk secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Sukma edisi ke-19 yang bakal berlangsung di Perak nanti akan disertai kira-kira 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen seluruh negara dalam 26 jenis sukan merangkumi 369 acara.

-- BERNAMA