Kerajaan Pulau Pinang akan meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan cadangan menghadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal dilaksanakan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya akan menunaikan janji Pakatan Harapan (PH) yang pertama itu dalam tempoh segera selepas ia dipersetujui mesyuarat exco hari ini.

Katanya majoriti dua pertiga yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah memberi kuasa kepada kerajaan PH untuk membuat pindaan perlembagaan dan penasihat undang-undang kerajaan negeri telah diminta untuk mengkaji perkara itu.

"Kita akan buat pindaan kepada perlembagaan negeri dan penasihat undang- undang negeri diminta meneliti dan kaji bagaimana untuk meminda perlembagaan negeri bagi melaksanakan janji yang dibuat berhubung perkara itu.''

"Klausa ini perlu dimasukkan dalam perlembangaan negeri supaya ia menjadi satu undang- undang tertinggi di Pulau Pinang bagi tujuan hadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri' katanya.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata semua exco kerajaan negeri telah diminta untuk melaksanakan 68 Janji Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14.

BACA: Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

Terdahulu, beliau mengumumkan pelantikan ADUN Komtar Teh Lai Heng sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat exco yang pertama di Komtar, Georgetown pada Rabu.