Jawatankuasa bagi mengkaji semula kurikulum pendidikan negara akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Hari Raya Aidilfitri, ujar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Pada pertemuan itu, katanya, Dr Mahathir akan memberikan taklimat terperinci kepada jawatankuasa berkenaan.

Menurut Dr Maszlee, Perdana Menteri sebelum ini telah mengarahkan beliau membentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada orang bukan kerajaan dari pelbagai latar belakang.

"Tun Dr Mahathir, melalui Mesyuarat Jemaah Menteri, telah meminta Menteri Pendidikan membentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada orang bukan kerajaan dari pendidik, pelbagai golongan dan latar belakang untuk memikirkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang terbaik dengan melihat contoh-contoh dari negara maju," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Antara negara-negara contoh dalam kajian pendidikan negara itu termasuk Jerman, Belanda, Australia, Finland dan Jepun.

"Jepun terutamanya melibatkan nilai untuk disertakan dalam pembelajaran dan kokurikulum pembelajaran sekolah serta melihat kepada negara Scandinavia terutamanya Finland," tambahnya.

Rabu lalu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan mewujudkan satu jawatankuasa bagi mengkaji semula kurikulum pendidikan negara.

Jawatankuasa itu bagi menambah baik kurikulum bermula dari peringkat tadika sehingga universiti.