Tutup

Jawatankuasa Pemerkasaan TVET diterajui Menteri Pendidikan

Jawatankuasa Pemerkasaan TVET diterajui Menteri Pendidikan
M. Kula Segaran (kanan) melihat salah satu kaedah rawatan yang dijalani Ong Kai Min, 34, semasa mengadakan lawatan di Pusat Neuro-Robotic Rehabilitation Cybernics selepas majlis perasmian pusat tersebut hari ini. - Foto BERNAMA
JASIN: Jawatankuasa Pemerkasaan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Nasional akan diterajui Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi merangka polisi baharu yang lebih relevan dalam melaksana agenda TVET mengikut keperluan industri.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata keputusan baharu itu dicapai dalam satu mesyuarat khas pada Rabu lepas yang mana jawatankuasa itu juga akan dianggotai beberapa menteri atau kementerian yang berkaitan TVET.
"Jawatankuasa TVET yang baharu ini telah digabungkan dengan sebelum ini yang diterajui Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan ia akan diterajui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

"Tujuannya kita mahu melihat semula isu TVET ini secara lebih menyeluruh dan merangka strategi baharu bagi memperkasa kedudukan TVET," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di sini, hari ini.
Terdahulu beliau turut meluangkan masa kira-kira 30 minit berdialog dengan pelajar ILP itu bagi memberi penerangan ringkas tentang kepentingan TVET pada masa depan.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata penumpuan khusus yang lebih jelas akan diberikan terhadap pelaksanaan TVET di institusi latihan di seluruh negara termasuk di ILP dan kolej vokasional pada masa akan datang.

Beliau berkata tumpuan khas itu melibatkan pelbagai aspek termasuk peruntukan dan infrastruktur yang lebih baik untuk melahirkan tenaga kerja mahir.

Katanya ia selaras dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan di negara ini yang lebih menitikberatkan pengambilan tenaga kerja berkemahiran berbanding aspek akademik bagi menghadapi Revolusi Industri (IR) 4.0.

"Apa yang kita dapat lihat sekarang ini banyak kursus yang ditawarkan di universiti tetapi tiada peluang pekerjaan berbanding institusi teknikal, lebih banyak peluang yang ada khususnya menjelang IR 4.0, ekonomi digital dan kecerdasan buatan," katanya.

Beliau berkata tumpuan khusus berkenaan juga bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan iaitu kira-kira 35 peratus pada tahun depan berbanding hanya 28 peratus pada masa kini.

-- BERNAMA


Tag: Jawatankuasa TVET, Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran, Institut Latihan Perindustrian, ILP Selandar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.