Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang kini dalam proses penubuhan akan berperanan mencari kaedah penyelarasan terbaik dalam menangani isu keganasan rumah tangga melalui libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jawatankuasa di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu akan menjadi platform pemantauan dan penyelarasan antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani gejala itu.

"Selain itu, jawatankuasa ini merupakan pemudah cara dan perantara bagi memastikan perundangan berkaitan keganasan rumahtangga, termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), prosedur operasi standard agensi kerajaan serta garis panduan berkaitan keganasan rumah tangga dilaksanakan dengan baik dan berkesan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementerian fokus dalam usaha menambah bilangan taska khususnya di agensi kerajaan terlebih dahulu sebagai sistem sokongan keluarga sekiranya wanita ingin kembali bekerja.

Bagi meningkatkan bilangan taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KPWKM juga bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan menawarkan diskaun 20 peratus bil elektrik taska yang berdaftar bagi tempoh bermula esok hingga 31 Disember 2020.