Satu jawatankuasa teknikal di peringkat pusat akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi mengkaji pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penubuhan jawatankuasa itu akan melibatkan kerajaan Pusat, kerajaan negeri Kelantan dan PAS.

Selain berperanan untuk melihat pelaksanaan undang-undang jenayah syariah dari pelbagai aspek, jawatankuasa itu akan memberi penerangan mengenai pelaksanaan undang-undang itu di pelbagai peringkat termasuk kepada parti-parti komponen, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, di sini, Jumaat.

Jamil Khir berkata "Penubuhan jawatankuasa ini untuk memastikan pelaksanaan jenayah syariah Islam ini dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kebijaksanaan dan juga keadilan bagi umat Islam."

Selain itu ia juga akan mengambil kira peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan rakyat bukan Islam di negara ini dapat melihat keindahan perundangan Islam itu, katanya.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bertindak sebagai urusetia jawatankuasa tersebut.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri Kelantan memandang positif akan penubuhan jawatankuasa ini, dan kerajaan negeri juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa mengenai pelaksanaan undang-undang syariah Islam tersebut.

"PAS telah menjelaskan hasrat dan cadangan pelaksanaan undang-undang ini kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kita berasa puas hati dengan apa yang telah diterangkan," katanya.

Laporan sebelum ini berkata PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.