Pandemik COVID-19 sudah tentu memberi kesan kepada ekonomi negara dan rakyat meliputi semua lapisan masyarakat.

Prihatin dengan situasi yang sukar ketika ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan inisiatif mewujudkan Jawi Food Bank bagi memastikan bantuan keperluan harian dan juadah berbuka puasa dapat disalurkan kepada penduduk sekitar wilayah itu.

Menurut Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail, idea itu dicetuskan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan jabatan berkenaan.

Katanya, matlamat utama usaha berkenaan adalah untuk menyantuni keluarga Islam dan bukan Islam bagi meringankan beban mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program Jawi Food Bank dengan kerjasama 89 masjid di Wilayah Persekutuan dan 111 surau solat Jumaat telah mewujudkan rantaian bantuan atas nama Jawi Food Bank dan Gerobok Rezeki Jawi Food Bank.

"Kami telah menyantuni lebih dari 400 keluarga bukan Islam setiap zon di bawah Jawi termasuk di Putrajaya dan Labuan.

"Jawi Food Bank ini pendekatan menyantuni bukan sahaja orang Islam kerana kita berpendapat bahawa masjid dan surau Jumaat sekeliling Jawi ini terdiri daripada penduduk bukan Islam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Malah ketika solat berjemaah tidak dapat dijalankan di masjid dan surau di bulan Ramadan ekoran penularan pandemik COVID-19, Mohd Ajib berkata, itu tidak mematahkan semangat Jawi untuk mengimarahkan rumah Allah itu menerusi Program Dapur It'am.

Kataya, setiap hari, juadah berbuka puasa akan disediakan di setiap masjid di Wilayah Persekutuan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kemenyerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Alhamdullah kami bersyukur sepanjang bulan Ramadan, Jawi telah mengambil inisiatif menganjurkan program Dapur It' am dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Program ini melibatkan 72 buah masjid dan surau solat Jumaat yang terpilih," kata beliau lagi.

Ujarnya, setiap masjid turut menerima RM1,000 bagi menyediakan juadah berbuka puasa dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.16 juta diperuntukkan sepanjang bulan Ramadan.

"Ia memberi dimensi baharu dimana 72 buah masjid dan surau-surau yang dipilih menggunakan kaedah memasak dengan garis panduan KKM dan Crisis Management Centre. Kesemua masjid ini akan memasak juadah yang telah ditentukan jawatankuasa," kata Mohd Ajib.