Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencatat pencapaian cemerlang sepanjang 2016 dengan hanya 0.25 peratus daripada 6,093 kes kebakaran yang disiasat tidak diketahui puncanya.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata selain peningkatan kualiti pegawai penyiasatan kebakaran dalam menentukan punca kebakaran, angka kematian akibat kebakaran menurun 30 peratus kepada 107 kematian pada tahun lepas berbanding 153 pada 2015.

"Jumlah kerugian dan kemusnahan harta benda akibat kebakaran juga didapati menurun sebanyak 34 peratus iaitu daripada RM4.4 bilion pada 2015 kepada RM2.9 bilion pada 2016.

"Jumlah harta yang berjaya diselamatkan dalam kebakaran pada 2016 telah meningkat sebanyak 21.4 peratus iaitu daripada RM29.5 bilion kepada RM35.8 bilion," katanya ketika berucap pada majlis perbarisan tahunan 2017 JBPM di sini hari ini.

Wan Mohd Nor berkata sebagai agensi kecemasan, JBPM tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian tahun lepas dan perlu bersedia untuk menghadapi tugas lebih mencabar pada tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perbarisan tersebut pula, Wan Mohd Nor berkata 100 peratus kematian akibat kebakaran yang dicatatkan pada tahun lepas berlaku di rumah kediaman.

"Hasil siasatan yang dijalankan terhadap 3,828 kes kebakaran rumah kediaman mendapati bahawa 2,184 kes atau 57 peratus kebakaran rumah berpunca daripada elektrik. Perkara ini perlu dilihat secara serius," katanya lagi.

Sepanjang tahun lepas, JBPM telah menghadiri sebanyak 90,277 panggilan kecemasan dengan 49,785 adalah panggilan kebakaran dan 40,402 panggilan menyelamat, katanya.

"Peratusan menghadiri panggilan kecemasan dalam tempoh kurang 10 minit meningkat daripada 44.49 peratus pada 2015 kepada 45.02 peratus pada tahun lepas. Ini menunjukkan bahawa secara keseluruhannya waktu respons JBPM bertambah baik," katanya.

Pada majlis hari ini juga, Wan Mohd Nor menyampaikan sijil penghargaan kepada 12 wakil media cetak dan elektronik, 21 pegawai JBPM dan 12 orang awam.

Antara orang awam yang menerima penghargaan ialah penulis novel 'Abang Bomba, I Love You', Azlisha Saadatau. - BERNAMA