Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam usaha mengoptimumkan keanggotaannya di seluruh negara bagi memastikan operasi jabatan berjalan lebih lancar.

Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata baru-baru ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan penambahan perjawatan baharu sebanyak 662 kepada jabatan itu, manakala kira-kira 400 jawatan lama pula masih belum diisi.

"Penempatan anggota baharu ini diperlukan untuk 29 balai baharu di seluruh negara termasuk balai kritikal (yang kekurangan anggota).

"Turnover cukup tinggi kerana terdapat anggota yang bersara wajib, bersara pilihan, ada yang letak jawatan dan ada (ditamatkan perkhidmatan) atas sebab masalah tatatertib dan kekosongan ini perlu diisi," katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perlis di sini, pada Ahad.

Pada masa ini, kira-kira 200 anggota sedang mengikuti kursus di Akademi Wakaf Tapai di Terengganu, Akademi Wilayah Sabah (121 orang) dan Akademi Wilayah Tengah Kuala Kubu Baru, Selangor (62 orang).

"Mereka akan tamat kursus pada Julai dan September ini dan akan mengisi kekosongan di balai-balai seluruh negara termasuk Perlis dan beberapa balai kritikal," kata Mohammad Hamdan.

Beliau berkata buat masa ini bagi mengisi keperluan keanggotaan, pihaknya memaksimumkan pelantikan anggota bomba sukarela yang mendapat latihan dan mempunyai kecekapan serta kemahiran yang sama seperti anggota tetap.

"Bomba sukarela ini juga sangat penting kerana ada tempat berisiko yang tidak boleh bina balai, jadi kita perlu penglibatan komuniti menerusi penubuhan bomba sukarela dan mereka ini menjadi first responder. Mereka terlatih dan menggunakan peralatan disediakan kerajaan.

"Mereka ini (bomba sukarela) membantu JBPM, tindak balas mereka adalah tindak balas bomba juga kerana masa bertindak balas bagi menghadapi kes kecemasan juga dalam tempoh 10 minit," katanya.

Beliau berkata masa bertindak balas di Perlis sangat baik iaitu mencapai sehingga 70 peratus berbanding di peringkat nasional hanya 46 peratus.

"Masa bertindak balas ini bergantung kepada tempat, ada yang sampai 100 peratus seperti di Labuan kerana kawasannya kecil dan ada banyak balai," katanya.

Dalam pada itu, katanya bagi keperluan di Perlis, yang kini hanya mempunyai lima balai, sebuah balai baharu akan dibina di Beseri dekat sini, memandangkan kawasan itu semakin padat kerana terdapat institusi pengajian serta pembukaan bandar-bandar baharu.

-- BERNAMA