Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menasihati pengunjung yang beriadah di Sungai Golok agar sentiasa berhati-hati terutama mereka yang membawa kanak-kanak.

Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman berkata walaupun keadaan sungai berkenaan kering sehingga menyebabkan beting pasir timbul di tengah sungai, pengunjung perlu berwaspada kerana berkemungkinan terdapat lubang atau lubuk yang berbahaya.

"Pengunjung terutama yang datang dari luar Rantau Panjang perlu berhati-hati kerana mereka tak tahu keadaan di dasar sungai itu walaupun ada sesetengah kawasan paras air hanya setakat buku lali.

"Selain itu, mereka perlu berwaspada dengan kehadiran reptilia berbisa seperti ular yang mungkin berada di sekitar kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Bernama semalam melaporkan ratusan penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand menjadikan Sungai Golok sebagai tempat beriadah dan bermandi manda berikutan cuaca panas melampau melanda negara ketika ini.

Selain 'berpesta air', mereka turut mencari 'etak', sejenis kerang sungai setelah sungai tersebut menyusut sehingga ke paras buku lali sejak pertengahan April lalu.