Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kini bersiap sedia untuk mengerahkan 830 anggotanya daripada 22 balai di seluruh negeri ini dalam tempoh 24 jam bagi menghadapi ancaman bencana alam termasuk banjir susulan permulaan monsun timur laut yang dijangka bermula pada bulan depan.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sabah; Khairul Azuwan Ibrahim berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini, permulaan monsun berkenaan dijangka akan membabitkan beberapa kawasan di Sabah terutamanya kawasan utara dan timur.

Setakat ini, kata beliau pihaknya sudah membuat persediaan rapi merangkumi tiga aspek utama iaitu sumber manusia, logistik dan peralatan serta pengurusan menangani banjir.

"JBPM mempunyai 22 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ditempatkan di seluruh negeri ini termasuk di beberapa lokasi yang kerap berlaku bencana banjir iaitu di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Beaufort.

"Sebagai persediaan menghadapi banjir, kita akan meningkatkan keupayaan terutamanya di bahagian Pusat Gerakan Operasi (PGO) dalam memantau sebarang perkembangan bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang ketika musim tengkujuh itu nanti," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul berkata, ketika musim banjir pada bulan Oktober lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 293 kes kejadian bencana alam seperti tanah runtuh, pokok tumbang, banjir dan berkaitan berlaku di Sabah.