Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi layak menjadi model contoh pemimpin kepada rakyat negara ini yang mahu menjadi biadab dan kurang ajar.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia sekali gus memberi realiti semua pimpinan tertinggi DAP mempunyai sikap sama seperti Jeff.

"Jeff kini contoh pemimpin DAP yang mengajar rakyat untuk menjadi kurang ajar. 'Adios' adalah perkataan diguna dalam konteks yang berbeza dan bukan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada manusia yang meninggal dunia.

"Ia membuktikan kedangkalan yang ketara dan tiada sensitiviti terhadap perasaan orang lain. Kerana kedegilan Jeff yang tidak mahu memohon maaf, saya mengajak rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan fahaman politik untuk mengecam dan mengutuk pemimpin DAP ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas reaksi Jeff berhubung pemergian Haron melalui Twitter yang berbunyi ‘Adios Harun Din. Let there be peace’.

Bagaimanapun, semakan di Twitter milik Jeff mendapati komen tersebut telah dipadamkan, namun cetakan skrin boleh dilihat melalui laman Facebook milik pengendali blog LSS Report, Lim Sian See.

Dalam pada itu kata Khairul Azwan, Jeff Ooi menunjukkan pemikiran kurang cerdik tahap tertinggi apabila membuat catatan di Twitternya baru-baru ini.

"Saya tidak pernah membaca catatan Twitter mana-mana pemimpin DAP lain yang mengucapkan ‘adios’ (selamat tinggal) kepada mana-mana pemimpin DAP yang meninggal dunia," jelasnya.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Lokman Noor Adam berkata, Jeff merupakan pemimpin DAP yang tidak hipokrit dan menunjukkan wajah sebenar parti itu.

Lokman memberitahu, ia juga tidak menghairankan kerana DAP sendiri penuh dengan sejarah yang membenci Melayu serta agama Islam.

Katanya, ungkapan ‘Adios Haron Din. Let there be peace’ sekali gus membuktikan Jeff mempunyai persepsi buruk terhadap Mursyidul Am PAS itu.