Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjangkakan bilangan pengundi yang rendah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang ditandinginya susulan kebimbingan penularan wabak COVID-19.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu berharap lebih ramai daripada jumlah 16,511 pemilih berdaftar di kawasan DUN itu akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing berdasarkan cuaca yang baik dan bantuan petugas pilihan raya di pusat mengundi.

"Satu-satunya perkara yang membimbangkan ialah beberapa pengundi mungkin tidak keluar mengundi kerana takut dengan pandemik COVID-19 memandangkan peningkatan kes positif dilaporkan di Sabah," kata penyandang kerusi itu kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Pekan Tambunan pada jam jam 9.50 pagi.

Jeffrey, yang menewaskan abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kubu kuat bekas presiden PBS itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), datang bersama isteri Datin Cecilia Edwin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan yang membantu pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan melancarkan proses pengundian di pusat tersebut.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari adalah sebanyak 41 peratus.

BACA: Untuk liputan komprehensif PRN Sabah klik di sini!

BACA: LAPOR LANGSUNG: Hari Penentuan di Sabah

Kerusi DUN Tambunan menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Jeffrey, Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (UPKO), Silverius Bruno (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (PCS), Nordin Jaini @ Zaini (PGRS) dan calon Bebas, Jimmy Palikat.

-- BERNAMA