Jelajah 2U2I TIC platform terbaik pelajar SPM fahami kehendak industri

Jelajah 2U2I TIC platform terbaik pelajar SPM fahami kehendak industri
Zambry menerima cenderamata dari Tina pada majlis Jelajah Kesedaran Industri-Universiti (2U2I) yang pertama kali diadakan di sini hari ini. Astro AWANI / NAZIALITA GEYNNA MAHARAN
MANJUNG: Program Jelajah Kesedaran Industri-Universiti (2U2I) yang pertama kali diadakan hari ini, menerima sambutan cukup hangat daripada semua yang hadir, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari sekitar daerah Manjung tahun ini.

Program yang diilhamkan dan dianjurkan oleh Taj International College (TAC) itu memulakan siri pertama dengan memilih Manjung sebagai lokasi pertama sebelum meneroka ke 11 daerah sepanjang dua minggu ia dilaksanakan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif murni yang dilaksanakan TIC itu merupakan peluang terbaik bagi para pelajar untuk mendedahkan diri dengan kemahuan industri sebaik menamatkan persekolahan kelak.

"Ambil platform ini dan gunakan sebaiknya, kerana apa yang dipelajari di bangku sekolah berbeza dengan dunia pekerjaan dan industri sebenar di luar sana," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis jelajah itu di sini hari ini.
Lebih daripada 1,500 pelajar dan masyarakat setempat menyertai program yang dianjurkan bersesuaian dengan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi (2012-2015) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TIC Tina Tajuddin berkata, program tersebut menyediakan pelbagai kursus kemahiran seperti seminar celik industri, bengkel personaliti psikometrik dan bengkel teknik menjawab kertas SPM Bahasa Melayu.

"Selain faktor jarak daripada pusat bandar, antara cabaran utama adalah masalah komunikasi serta tiada keyakinan dan personaliti yang menjadi kerunsingan graduan pada hari ini. Ia berdasarkan penyelidikan dilakukan pihak TIC.

“Program ini melibatkan warga sekolah, masyarakat, ibu bapa yang prihatin dengan isu pendidikan. Jadi, tujuan mengadakan siri jelajah ialah ingin mengurangkan kadar pengangguran melibatkan para graduan,” katanya.

Jelasnya lagi, program tersebut juga merupakan pendekatan kreatif bagi menyelesaikan isu pendidikan di kalangan golongan B40, atau masyarakat luar bandar, malah membantu supaya ibu bapa terlibat celik industri.

"Mereka akan menerima pelbagai persediaan dan kemahiran. Jadi, kebolehpasaran para graduan dan beberapa strategi telah diperkemas agar mereka sedia menerusi model 2U2I, iaitu dua universiti dan dua industri.

"Kesemua pelatih juga amat beruntung kerana dalam tempoh pengajian mereka dua tahun belajar di universiti, hanya setakat teori, dan dan kini kami salurkan dua tahun berbaki ke latihan industri serta ciri keusahawan," kata Tina.