Bakal jemaah haji diminta tidak menyembunyikan penyakit mereka daripada pengetahuan Tabung Haji (TH) sebelum berlepas dan semasa berada di Tanah Suci.

Anggota Lembaga Pengarah TH Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata soal kesihatan tidak boleh dipandang ringan kerana pelaksanaan rukun Islam kelima itu memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani.

Malah 22,320 bakal jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijangka berhadapan dengan cuaca panas sehingga mencecah 50 darjah celcius yang boleh mengakibatkan serangan strok haba, katanya.

"Apa jua penyakit walaupun demam, sila jujur dengan kami. Ada jemaah yang suka tangguh untuk beritahu (penyakit) kerana takut peluang mereka beribadat sebaik-baiknya di Tanah Suci terjejas jika diketahui TH.

"Sedangkan kita telah melakukan semua persiapan untuk menjaga kebajikan mereka termasuk menyediakan lebih 200 doktor dan pegawai perubatan di sana dengan setiap maktab dilengkapi klinik," katanya.

Abdul Shukor berkata demikian semasa ditemui pada Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam tadi, yang disertai 1,200 jemaah haji dari Pahang.

Kursus itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Abdul Shukor berkata pusat kesihatan itu beroperasi 24 jam bagi memastikan kesihatan jemaah diutamakan dan TH juga menyediakan klinik gigi selepas mengambil kira permintaan orang ramai.

"Jika tidak sihat semasa melakukan ibadah, jemaah boleh meminta bantuan petugas TH termasuk pelajar Malaysia yang dilantik secara sambilan pada musim haji.

"Kita juga telah meletakkan seramai 10 peronda TH di setiap kawasan yang akan menaiki motosikal untuk memudahkan pergerakan mereka. Yang penting, jangan panik jika berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Abdul Shukor juga menasihatkan bakal jemaah tidak membawa terlalu banyak wang tunai ke Tanah Suci kerana kemudahan mengeluarkan wang disediakan TH bagi memastikan mereka dapat melaksanakan haji tanpa bimbang dengan keselamatan diri.

Beliau berkata selain kesihatan, jemaah juga perlu berjumpa TH jika mempunyai sebarang kemusykilan dalam soal ibadat kerana selain ustaz dan ustazah, TH juga mempunyai tiga pakar rujuk yang diketuai bekas mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad.