ALOR SETAR:Jemaah di Masjid Zahir di sini dihadkan mulai Rabu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut pengerusi masjid, Mohamad Jasni Abdullah, hanya 11 jemaah terdiri daripada jawatankuasa dan pegawai masjid dibenarkan menunaikan solat fardu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Manakala hanya 40 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dengan membawa sejadah sendiri serta mengamalkan penjarakan fizikal yang ditetapkan.

Malah hanya jemaah yang mempunyai kad identiti anak kariah sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam masjid.

Beliau berkata langkah kawalan di Masjid Zahir dilakukan selepas mendapat pengesahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar yang memaklumkan masjid itu berada dalam Zon Merah.

Ahli Jawatankuasa Masjid turut diingatkan supaya memastikan SOP dipatuhi, mewujudkan kaunter di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan, sanitasi dan merekod kehadiran jemaah.

"Orang luar tidak dibenarkan cuma hari Jumaat ini, seramai 40 orang.

"Kita gunakan kad khariah yang di Masjid Zahir sahaja. Kita gunakan kad seramai 40 orang. Kita akan tutup selepas cukup 40 orang," kata Mohamad Jasni.

Sehubungan itu, jawatankuasa Masjid Zahir memohon kerjasama semua pihak untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

Selain itu, katanya, laungan azan bagi solat fardu lima waktu akan diteruskan seperti biasa, namun semua aktiviti pengimarahan masjid perlu ditangguhkan sementara sehingga arahan baharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari berkuat kuasa tengah malam tadi.

Manakala enam negeri lagi, Pahang, Perak, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan kes COVID-19.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).