Rakyat Malaysia yang berhasrat ke luar negara khasnya untuk menunaikan umrah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit.

Langkah berkenaan perlu diambil supaya tidak meletakkan risiko masalah kesihatan kepada orang lain.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (Motac), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mereka juga disarankan untuk peka terhadap maklumat yang diberikan pihak berwajib termasuk Motac dan sebagainya.

Beliau berkata, sikap sambil lewa boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada diri sendiri dan orang lain.
“Kita pun tak boleh jangka sebab mungkin ada yang kata tidak merebak, tetapi tiba-tiba ada.

“Maka saya harap semua jemaah dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan diharap dapat juga mengambil (serius) apa-apa juga pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa, kementerian dan sebagainya,” ujar Mas Ermieyati.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Kasih Cawangan UMNO Ayer Limau, di Ayer Limau, Masjid Tanah.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan menafikan seorang rakyat malaysia dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-COV).

Ia susulan viral di Twitter seorang wanita, mengenai anggota keluarganya yang kembali dari menunaikan umrah dirawat di Hospital Putrajaya kerana disyaki dijangkiti penyakit itu.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkata, Puteri UMNO bersedia menghantar sukarelawan ke pantai timur bagi membantu penduduk terjejas banjir melalui program Puteri Peduli.