Jenayah komersial di ibu negara mencatatkan penurunan daripada 3,321 kes pada 11 bulan pertama tahun lepas kepada 2,341 kes dalam tempoh sama tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata kerugian yang dikaitkan dengan kes tersebut pada tempoh berkenaan tahun ini ialah lebih RM242 juta berbanding lebih RM300 juta pada 2016, penurunan 19.5 peratus.

"Walaupun terdapat penurunan. Namun, jumlah kerugian yang direkod masih tinggi.

"Penipuan melalui komputer dan telefon bimbit dilihat menjadi trend sindiket bagi perdaya mangsa yang kurang mendapat pendedahan mengenai penipuan siber ini," katanya selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah 'Be Smart' di sini, pada Ahad.

Mazlan berkata, jenayah komersial yang banyak berlaku di ibu kota adalah 'Macau Scam', 'Love Scam', penipuan pembelian barang menerusi internet dan penipuan pinjaman tidak wujud.

Beliau berkata bagi membendung jenayah komersial ini, Polis Kuala Lumpur komited memberi pendedahan maklumat kepada masyarakat mengenai jenayah berkenaan serta modus operandi yang sering digunakan sindiket.

" Kebiasaannya, mangsa akan dihubungi pihak tertentu dan dimaklumkan kononnya terdapat masalah seperti hutang bank, pembayaran pinjaman, kad kredit atau terbabit kes jenayah yang menyebabkan mereka cepat panik dan mudah terpedaya.

"Melalui kempen ini, kita akan beri kefahaman dan cara untuk berdepan situasi seperti ini sekiranya mereka (masyarakat) dihubungi sindiket yang ingin menipu," katanya.

-- BERNAMA