Jenazah Adenan Satem dikebumikan esok - Abang Johari

Jenazah Adenan Satem dikebumikan esok - Abang Johari
Upacara penghormatan terakhir buat Allahyarham akan bermula 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.
KUCHING: Jenazah Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia petang tadi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Kuching esok.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata sebelum itu jenazah akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak, Petra Jaya pada pukul 10 pagi.

Disusuli upacara penghormatan terakhir yang akan bermula 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

"Orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir dinasihatkan berpakaian gelap," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abang Johari berkata esok juga diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri ini dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.
Tan Sri Adenan meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Kota Samarahan.