Jenazah murid tahun empat yang ditemui lemas di Sungai Manir pada Ahad malam selamat disemadikan.

Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10 tahun, dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Tengir, Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.20 petang Isnin.

Terdahulu, jenazah murid Sekolah Kebangsaan Manir itu disembahyangkan di Masjid Kampung Padang Tengir.

Sebelum itu jenazah mangsa dibawa ke rumahnya di Kampung Manir dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Suasana pilu mengiringi sepanjang pengebumian mangsa yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan penduduk kampung.

Sementara itu bapa mangsa, Ahmad Ruhaimi Mohd Rehan redha dengan pemergian anaknya serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota penyelamat.

“Saya memang redha dan syukurlah jasad anak saya dijumpai kurang daripada tiga hari (mengikut) jangkaan pihak bomba. Alhamdulillah. Jasadnya pun (dalam keadaan) elok.. Jasad sempurna masa dijumpai, Alhamdulillah,” ujarnya.

Sabtu lalu, Ahmad Aqil Fadlullah dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Mayatnya mangsa telah ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan terapung hanya 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh pada jam 10.30 malam Ahad.