Jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), malam ini, untuk dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, pada Rabu.

Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom tiba dari London di Hangar Diraja LTAS pada kira-kira 11 malam dengan menaiki pesawat peribadi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Ketibaan jenazah disambut Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerabat damping, Jumaah Majlis Diraja Johor, Menteri Besar Datuk Osman Sapian serta barisan Exco kerajaan negeri.

Jenazah kemudian diiring ke Istana Besar menggunakan ambulans peribadi Sultan Johor dan tiba di istana berkenaan pada kira-kira 11.45 malam untuk disemayamkan.

Istiadat Pemakaman Almarhumah, esok, diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja dan jenazah akan ditarik oleh sebuah pedati khas membabitkan 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar sejauh 2.8 kilometer ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Jenazah Almarhumah akan dimakamkan sebaris dengan makam cucunda baginda, Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat akibat kanser pada 5 Dis 2015.

Hajah Khalsom, 83, atau nama asalnya, Josephine Ruby Trevorrow dilahirkan pada 2 Disember 1935 di Cornwall, England.

Almarhumah yang mangkat pada 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, 1 Jun lepas dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hasil perkahwinan bersama Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

-- BERNAMA