Jenazah mangsa kemalangan dekat Tanjung Malim, Nurul Syazeila Iryani Suhaimi, 28, dan anaknya, Hanna Humaira Mohd Nasrun, setahun lima bulan, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Darat, Sungai Dua di sini kira-kira 12 tengah malam tadi.

Jenazah dua beranak itu tiba di rumah keluarga mereka di Kampung Permatang Tok Jaya, pada jam 10.40 malam, diiringi suami mangsa, Mohd Nasrun Ramli, 29.

Suasana pilu sebaik jenazah dua beranak dibawa memasuki rumah untuk penghormatan terakhir saudara mara dan kenalan mangsa.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek, Pekan Darat untuk disembahyangkan.

Sementara itu, Muhd Nasrun Ramli, suami kepada Allahyarham Nurul Syaziela yang ditemui selepas pengkebumian berkata, beliau redha dengan pemergian isteri dan anak tunggalnya.

Mencerita kembali detik kejadian Mohd Nasrun berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan beliau tidak menyangka perjalanannya untuk menziarahi bapa saudaranya yang meninggal dunia berakhir dengan tragedi.

"Saya langsung tidak sangka akan kehilangan isteri dan anak tunggal kami yang baru berusia setahun lima bulan itu dalam sekelip mata hari ini.

"Ekoran pelanggaran kuat itu, isteri dan anak saya tersepit...saya cuba membantu mengeluarkan mereka tetapi tidak berjaya. Waktu itu darah dah penuh di muka dan badan mereka, saya juga tersepit tetapi masih sedar," katanya.

Mohd Nasrun memberitahu, dia hanya mengalami kecederaan ringan dan luka di bahagian dahi serta tangan.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi Khamis, kenderaan yang dipandunya dirempuh treler yang terbabas di kilometer 405.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengakibatkan isteri dan anaknya maut.

Kemalangan itu turut menyebabkan 16 kenderaan lain terbabas.