Jenazah dua juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108 yang maut dalam nahas pesawat di Chukai, Terengganu pagi ini tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 5.10 petang.

Turut berada di jabatan forensik HTAA ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed dan Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Tinjauan Bernama di perkarangan jabatan itu mendapati jenazah Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, tiba dengan menaiki dua buah ambulans, setelah dibawa keluar dari kawasan hutan berpaya di Chukai dengan helikopter.

Yazmi berasal dari Titiwangsa, Kuala Lumpur manakala Mohd Hasri berasal dari Felda Lui Muda, Bandar Baru Jempol, Negeri Sembilan.

Difahamkan pihak TUDM sedang membuat aturan untuk membawa keluarga Mohd Hasri yang menetap di Labuan, Sabah ke Kuantan, manakala keluarga Yazmi menetap di Kuantan.

Tinjauan mendapati di perkarangan Unit Forensik HTAA ketika ini hanya dipenuhi oleh anggota dan pegawai tentera, manakala isteri dan anggota keluarga Yazmi ditempatkan di bilik khas di Unit Kecemasan hospital itu sementara proses bedah siasat dilakukan pada malam ini.

Kedua-dua juruterbang disahkan meninggal dunia selepas pesawat jenis Hawk 108 itu dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai pagi ini.

Jenazah kedua-dua mangsa ditemukan pada pukul 2.30 petang tadi, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuantan, dalam keadaan masih memakai payung terjun.

Mayat kedua-dua pegawai TUDM itu ditemukan dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain.

Pagi ini, TUDM mengesahkan pesawat jenis Hawk 108 itu hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang, setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi tadi.

-- BERNAMA