SEGAMAT:Cuaca mendung mengiringi pengebumian jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan ngeri di kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Kampung Melayu Raya, di sini, petang semalam.

Jenazah pasangan suami isteri, Nizam Daud, 51, dan Nur Faizlin Jamaludin @ Samsudin, 37, serta dua anak mereka Nur Naqhia, 6, dan Mohd Niyaz, 2, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai pada jam 10.30 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan ketika kira-kira 200 termasuk ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada semua mangsa.

Tambah menyentuh perasaan apabila menyaksikan satu persatu jenazah diturunkan ke liang lahad.

Terdahulu empat jenazah tersebut tiba di Surau Kampung Gemereh untuk disembahyangkan selepas dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Segamat sekitar jam 8.30 pagi.

Dalam kejadian sekitar 1.30 petang semalam, empat beranak berkenaan terbabit dalam kemalangan ngeri selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah treler tanpa muatan.

BACA: Kereta dirempuh treler, empat beranak termasuk bayi maut

BACA: Pemandu treler terbabit kemalangan maut ditahan polis

Insiden tersebut menyebabkan empat sekeluarga maut di tempat kejadian manakala seorang lagi anak mereka Mohd Naqib, 9, yang turut berada dalam kenderaan tersebut parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Pasangan jurutera yang menetap di Telok Ramunia Kota Tinggi itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman Allahyarham Nur Faizlin di Kampung Gemereh, Segamat.