KUALA LUMPUR: Jenazah warga Malaysia, Muhammad Khairul Anas Abd Gapal yang meninggal dunia di Korea Selatan dibawa pulang ke Malaysia hari ini.

Ini selepas kos pengurusan penghantaran jenazah berjaya dikumpul melalui jualan amal 12 peniaga bundle rakyat Malaysia.

Difahamkan, dana jualan amal tersebut berjumlah RM76,430 yang akan digunakan untuk membayar kos kenderaan membawa jenazah, kos menyimpan jenazah di bilik mayat hospital selama enam hari, kos menyimpan jenazah di bilik mayat dimiliki ejen pengurusan mayat dan juga kos penerbangan.

Muhammad Khairul Anas dilapor meninggal dunia akibat sakit di Gwangju pada 26 Februari lalu.

Menurut laporan Harian Metro, rakyat Malaysia yang menetap di Korea Selatan, Idarmi Abd Kadil berkata dana terbabit adalah hasil dana jualan amal secara langsung di Facebook serta sumbangan orang ramai.

"Jumlah wang berjaya kami kumpulkan ini melebihi jumlah yang kami sasarkan sebelum ini iaitu sebanyak RM50,000 bagi menguruskan penghantaran jenazah Muhammad Khairul Anas Abd Gapal ke Sabah.

"Jenazah akan dibawa pulang dengan pesawat MH067 yang dijadual berlepas dari Incheon ke Kuala Lumpur, pada 11.05 pagi esok (hari ini) waktu tempatan Korea.

"Kemudian dari Kuala Lumpur, jenazah dijadual akan dihantar ke Kota Kinabalu pada 10 Mac (jam 6.10 pagi) dan dijangka akan tiba ke Sabah pada jam 8.45 pagi menerusi pesawat MH6102," katanya.

Selain itu, menurutnya, kos pengurusan jenazah dari Kota Kinabalu ke Tawau akan ditanggung sepenuhnya oleh Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah.

Sebelum ini media melaporkan peniaga bundle Malaysia di Korea Selatan telah mengadakan jualan amal bagi mengumpul dana membantu penghantaran pulang jenazah rakan mereka di Gwangju ke Tawau.

BACA: Jualan amal bundle Korea raih RM50,000 bantu bawa pulang jenazah ke Tawau

Jualan tersebut dilakukan menerusi Facebook Live 'Saudagar JPKR' selama 1 jam 40 minit dan mendapat tontonan lebih 8,000 pengguna Facebook.