Jenazah warganegara Indonesia, Hashir, 38, seorang daripada lima mangsa lemas akibat dibawa arus deras di Sungai Gasi pada Isnin, dibawa pulang ke kampung halamannya di Bangkalan, Madura, Indonesia hari ini.

Kaunselor Kedutaan Indonesia di sini, Yusron Ambary berkata pihak kedutaan telah mengeluarkan surat pelepasan dan menyediakan segala dokumen yang diperlukan bagi membawa pulang jenazah.

"Satu surat sudah dikeluarkan bagi antara lain menyatakan mangsa meninggal kerana 'drowning' dan jenazah akan dibawa pulang ke Indonesia untuk disemadikan.

"Nanti ada keluarganya yang akan menyambut jenazah di lapangan terbang Surabaya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Lima maut manakala tiga lagi terselamat selepas dibawa arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh dekat sini pada kira-kira 5.40 petang Isnin.

Allahyarham Hashir merupakan mangsa pertama ditemui pada malam hari kejadian.

-- BERNAMA