Jenazah pelajar tahfiz Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aping Timur jam 12.37 malam tadi.

Jenazah Allahyarham Mohamad Thaqif sebelum itu disembahyangkan di rumah datuknya, Agmad Motai kira-kira satu kilometer dari tanah perkuburan.

Turut mengiringi jenazah pelajar itu adalah bapa Allahyarham Mohd Gaddafi Mat Karim dan sanak saudara.
"Saya mewakili semua keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua masyarakat yang menolong dari awal hingga akhir. Terima kasih banyak-banyak kita dah selesai semua ni Alhamdulillah," kata bapa saudara Allahyarham Mohamad Thaqif, Masarif Masduki ketika ditemui di sini.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum itu meluangkan masa menziarahi dan mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Jenazah Mohamad Thaqif Amin, dibawa keluar dari Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru kira-kira 10.50 malam selepas selesai bedah siasat.

Mohamad Thaqif Amin, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia pada pukul 2.05 petang Rabu di HSI.

Pelajar itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi semalam, namun, ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kisah Mohamad Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes. -