Suasana hiba dan pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, di sini kira-kira 1 tengah hari tadi.

Cuaca mendung seolah-olah akur dengan pemergian wira negara ini dan seterusnya memudahkan urusan pengebumian Muhammad Adib pada Selasa.

Pengebumian jenazah dihadiri ratusan anggota bomba, saudara-mara dan penduduk sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, jenazah tiba di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, di sini pada jam 10.29 pagi yang dibawa dengan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pangkalan Udara JBPM, Subang, Selangor.

Jenazah kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Tebengau sebelum dibawa ke Masjid As-Saadah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah itu untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan sejurus selepas itu.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Turut hadir melawat keluarga dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan barisan kepemimpinan serta anggota JBPM.