Tutup

Jenazah Nur Umairah Jannah selamat dikebumikan

Jenazah Nur Umairah Jannah selamat dikebumikan
Zaiton Zainudin, 27, menabur bunga di atas pusara anaknya Nur Umairah Jannah Abdul Muhaimin berusia lapan bulan yang menghidap penyakit Hydrocephalus setelah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tersusun Kledang. - Foto BERNAMA
SUNGAI SIPUT: Bayi perempuan berusia lapan bulan yang menghidap penyakit 'Hydrocephalus' atau lebihan cecair dalam otak sejak lahir, meninggal dunia pada kira-kira pukul 3 petang tadi selamat dikebumikan malam tadi.

Arwah Nur Umairah Jannah Abdul Muhaimin menghembuskan nafas terakhir semasa menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di ibu negara.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Taman Kledang di sini dan disembahyangkan di Masjid Al-Islah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tersusun, Kledang kira-kira 10.30 malam.

Ibu saudaranya Nurul Shafikah Zainuddin, 19, yang bekerja sebagai operator kilang berkata mereka sekeluarga redha dengan pemergian arwah, dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan arwah sehingga menghembuskan nafas terakhir.
"Sebelum pergi pun Jannah sempat senyum pada saya tetapi Allah sayangkan dia...mungkin ia akan mengambil masa yang lama untuk melupakan kenangan bersama dia namun Qada dan Qadar itu pasti," katanya.

Nurul Syafiqah berkata arwah dibawa ke PPUKM atas nasihat doktor yang merawatnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sejak kelahirannya untuk mendapatkan rawatan pakar.

"Pada mulanya pembedahan berjalan lancar namun secara tiba-tiba, saya difahamkan oleh doktor bahawa banyak berlaku pendarahan," katanya.
Penyakit arwah menyebabkan kepalanya semakin membengkak dan membesar selain membataskan pergerakannya dan hanya mampu bermain dalam keadaan berbaring.

Sepanjang hayatnya, arwah dalam jagaan bersama dua ibu saudara termasuk Nurul Syafiqah, seorang bapa saudara dan neneknya.

Urusan pengkebumian arwah diselubungi suasana pilu dengan kehadiran lebih 100 orang terdiri daripada anggota keluarga dan penduduk sekitar.

Isnin lepas, arwah turut menerima lawatan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Wad Pediatrik, PPUKM, selepas kisahnya tular di media sosial.

Arwah dibawa ke PPUKM dari rumahnya di sini dengan menggunakan ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) oleh anggota dari APM Daerah Kinta pada Jumaat lepas, untuk mendapatkan rawatan termasuk surgeri, selepas pihak hospital di sini tidak mempunyai kepakaran dalam merawat penyakitnya.

-- BERNAMA

Tag: Hospital, media sosial, meninggal dunia, Nur Umairah Jannah Abdul Muhaimin, bayi meninggal dunia, Sungai Siput


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.