Jenazah tiga sekeluarga yang maut dipercayai akibat dikelar seorang lelaki yang juga anggota keluarganya di Kampung Bertam Malim, Melaka semalam selamat dikebumikan pagi tadi.

Pasangan suami isteri warga emas, Hassan A. Wahab, 70, dan Mariah Baharin, 62, serta anak lelaki mereka Muhammad Taufeq, 22, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bertam Malim di sini, kira-kira 11.30 pagi.

Hujan lebat sepanjang pengkebumian itu tidak menghalang lebih 500 anggota keluarga dan kenalan mangsa untuk turut serta dalam majlis yang cukup memilukan itu.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhammad, Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan beberapa pemimpin masyarakat di negeri itu.

Terdahulu, jenazah yang dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Melaka sekitar 9.30 pagi itu terus dibawa ke Masjid Al-Faizin Kampung Bertam Malim untuk disembahyangkan.

Solat jenazah diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Rashid Mohd Yusof.

Tiga sekeluarga itu dibunuh dalam kejadian di Kampung Bertam Malim di sini kira-kira 6.30 pagi semalam dan suspek telah ditahan polis di Masjid Bukit Rambai di sini kira-kira 11 pagi semalam.

Dua lagi anak pasangan itu, Noor Haslinda Diyana, 26, dan Nuraqedah Aeina, 24, turut cedera parah dalam kejadian itu sedang dirawat di Hospital Melaka.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi tadi mengeluarkan perintah reman tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek.