Jentera bomba yang dikejarkan bagi tujuan memadam kebakaran sebuah kereta ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 November lalu dibaling dengan objek keras.

Saksi pertama prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Ketua Bahagian Siasatan Trafik Daerah Subang Jaya, Deputi Superintenden Mohd Nasir Drahman berkata jentera tersebut dikepung sebelum dirosakkan.

“Jentera dikelilingi orang ramai dan dibaling. Pada penglihatan saya, jentera di depan dibaling di bahagian depan.

“Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum ke hadapan dan kembali berundur hingga hilang daripada penglihatan saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Mohd Nasir berkata jentera tersebut diserang kira-kira 10 hingga 15 minit. Tambahnya, sekitar 3,000 hingga 5,000 individu berada di lokasi ketika insiden berlaku.

Prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam adalah mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya.

Allahyarham parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November tahun lalu.

Turut kelihatan pada sesi prosiding hari ini ialah Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Azmi Osman serta abang kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Muhammad Asyraf Mohd Kassim.

Sesi prosiding dihentikan seketika sebelum disambung pada sebelah petang.