Seorang pemandu jentera penggelek terpaksa menangung kesakitan hampir tiga jam selepas jentera yang dikendalinya terbalik.

Kejadian tersebut berlaku di Bukit Jemalang, Kemaman kira-kira jam 4.45 petang Isnin.

Ketua Zon 2 , Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab Rahim berkata insiden itu dipercayai berlaku setelah jentera yang dipandu mangsa hilang kawalan semasa melalui lereng bukit di lokasi kejadian.

Menurut Azmi, mangsa, Che Ku Mohd Jofizal Che Ku Sin, 38 tahun bagaimanapun berjaya dikeluarkan dari jentera sekitar jam 7.54 malam.

“Sampai di tempat kejadian kita dapati kaki di sebelah kiri mangsa telah tersepit di bahagian bumbung jentera tersebut dan penggelek tersebut pula berkeberatan lebih kurang dalam 40 tan.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa agak sukar disebabkan keberatan jentera tersebut, jadi kita telah mendapatkan bantuan daripada dua 'excavator' (jentera pengorek) untuk membantu kita mengangkat jentera tersebut supaya kaki mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, jarak lokasi yang jauh dari laluan utama dan persekitaran muka bumi yang tidak rata di lokasi tersebut, merupakan antara kesukaran yang dialami pihaknya.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki.

Mangsa telah dibawa ke unit kecemasan Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan lanjut.