Pakar pengangkutan dari JR Kyushu dan JR Freight akan melihat bagaimana sistem pengangkutan awam di Malaysia dapat dioptimumkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, mereka akan datang ke Malaysia serta melihat bukan sahaja aspek meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penumpang dan kargo, tetapi juga melihat bagaimana keuntungan dapat dijana dari sistem itu.

“Japan Railways (JR) dahulu merupakan sebuah syarikat milik kerajaan Jepun. Tetapi syarikat itu selalu rugi, sehingga akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk menswastakannya kepada, bukan satu, tetapi kepada beberapa syarikat.

“Apabila ia sudah diswastakan, JR telah menjadi sangat berjaya dan begitu ‘profitable’. Jadi kita telah pergi ke Kyushu baru-baru ini dan meminta mereka membuat kajian tentang keadaan landasan kita, serta bagaimana cara untuk memastikan operasi lebih berkesan,” katanya kepada media Malaysia di Tokyo hari ini.

Beliau sebelum ini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari, dan akan bertolak pulang ke Malaysia pada Rabu.

Dalam satu sidang bersama antara beliau dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semalam, rakan sejawatannya itu telah menyatakan persetujuan untuk menghantar pakar pengangkutan Jepun ke Malaysia akhir bulan ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, antara masalah yang dikenal pasti ialah, landasan keretapi di Malaysia semuanya menggunakan kuasa elektrik, tetapi ia tidak mampu membawa kontena.

“Tidak seperti di Jepun, mereka mempunyai landasan khas untuk kontena dan barangan besar,” katanya lagi.