Jepun telah mengambil tindakan segera terhadap permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakan sejawatannya di Jepun, Shinzo Abe untuk menjalin kerjasama antara kedua-dua negara dalam menangani insiden tumpahan minyak, terutama di Laut China Selatan.

Kerjasama itu direalisasikan semasa bengkel lima hari yang diadakan di Pelabuhan Klang minggu lepas antara Pengawal Pantai Jepun (JCG) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menyaksikan penggunaan serentak kapal peronda JCG dan pesawat udara di perairan Malaysia, buat pertama kali.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun (Hal Ehwal Keselamatan Negara), Minoru Kihara, berada di sini minggu lepas, selama tiga hari untuk memberi ceramah dan meraikan kru kapal peronda JCG ECHIGO (Pegawai Pemerintah, Kapten Kiyoshi Harada) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Carilamat JCG, Laksamana Madya Suzuki Shiro.

Bengkel itu bertujuan meningkatkan keupayaan kakitangan Maritim Malaysia dan mengoptimumkan penggunaan peralatannya dalam menguruskan tumpahan minyak di perairan negara serta menyediakan bantuan awal sekiranya berlaku insiden tumpahan minyak.

Sebagai sebahagian daripada latihan yang melibatkan bot pengawal pantai dari kedua-dua negara, pegawai pengawal pantai Jepun menaiki kapal Malaysia menjalankan latihan bersama termasuk menggunakan teknologi terkini Jepun dalam menangani tumpahan minyak.

Berdasarkan statistik Maritim Malaysia, sebanyak 16 insiden tumpahan minyak direkodkan di perairan Malaysia tahun lepas, dengan sebahagian besarnya di Laut China Selatan.

Kihara juga mengadakan pertemuan ringkas dengan Dr Mahathir dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.

"Kerjasama berhubung isu tumpahan minyak diminta oleh Perdana Menteri (Dr) Mahathir sendiri kepada Perdana Menteri kami, Abe. Kerjasama Jepun-Malaysia telah berlangsung selama bertahun-tahun, tapi kini ia menjadi semakin aktif dalam memastikan keselamatan maritim," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam perbincangannya dengan Muhyiddin dan Liew, mereka bersetuju meneruskan kerjasama luas antara kedua-dua negara berdasarkan persetujuan kedua-dua Perdana Menteri untuk memulihkan Dasar Pandang Ke Timur Malaysia.

"Kami akan meneruskan atau mengukuhkan lagi kerjasama antara Maritim Malaysia dan JCG ke arah merealisasikan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka," kata Kihara.

Berhubung Laut China Selatan, Kihara berkata, Jepun memandang serius terhadap keadaan semasa.

"Pada masa sama, usaha diplomatik akan dibuat untuk meredakan kebimbangan itu dengan matlamat mencari penyelesaian yang aman.

"Kami percaya tindakan unilateral dalam menguatkuasakan perubahan status quo tidak sepatutnya berlaku, ini adalah pendirian Jepun," kata Kihara.

Beliau berkata, untuk bergerak ke hadapan, bidang kerjasama masa depan perlu meliputi pembangunan sumber manusia.

"Oleh kerana kedua-dua negara kita dikelilingi oleh lautan, kita mempunyai persamaan daripada segi isu-isu dasar maritim, dan kami merasakan Jepun dapat memainkan peranan lebih jauh dengan Malaysia dalam perkara ini.

"Dan kali ini kami berada di sini bagi pihak kerajaan Jepun untuk melihat kerjasama yang sedang berlangsung, melihat apa lagi yang boleh dilakukan," katanya.

Ditanya mengenai tanggapannya mengenai Maritim Malaysia, Kihara berkata: "Saya berpeluang melihat pertama, kemahiran Maritim Malaysia di kawasan-kawasan di mana Jepun mungkin lebih maju sedikit. Kami pastinya lebih daripada bersedia untuk berkongsi pengetahuan kami dengan Malaysia dalam bidang pembinaan kapasiti atau apa-apa permintaan lain yang mungkin Malaysia perlukan." - BERNAMA