Bank Jepun Bagi Kerjasama Antarabangsa (JBIC) bersedia untuk mempertimbangkan peningkatan kadar penerbitan Samurai Bonds kepada Malaysia, seandainya ia diperlukan di masa hadapan, kata Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo.

Menurut Abe, bon itu dijangka dapat membantu mengukuhkan kemampanan fiskal Malaysia.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Jepun, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Abe melahirkan rasa gembira atas kejayaan JBIC menerbitkan bon sejumlah 200 bilion yen (RM7.4 juta) pada Mac lepas.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini, awal hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Dr Mahathir berkata, Malaysia sangat menghargai bantuan itu dan berbesar hati menjemput Jepun untuk terus menerbitkan bon atau sukuk di Malaysia, yang mana langkah ini dapat meningkatkan portfolio kewangan serta meminumkan risiko pertukaran wang antara dua negara.

Selain itu, antara perkara lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah mengenai hasrat Universiti Tsukuba membuka cawangan kampusnya di Malaysia.

“Sekiranya perkara ini berlaku, Tsukuba akan menjadi universiti Jepun yang pertama membuka cawangannya di luar negara ini,” kata kenyataan itu lagi.

Dr Mahathir dan Abe juga sepakat melahirkan harapan agar perkara itu dapat dimuktamadkan dan universiti lain dari Jepun akan turut mengikut jejak langkah Tsukuba dalam membuka cawangan mereka di Malaysia.