Sebanyak 337 sekolah di sembilan daerah di Sarawak di tutup hari ini akibat jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata ia melibatkan 56 sekolah menengah dan 81 sekolah rendah di Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman, Lundu dan kawasan terbaru hari ini, Kanowit.

Seramai 138,384 pelajar terjejas akibat penutupan sekolah hari ini, menurut kenyataan berkenaan.

Berdasarkan data dikongsi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), keadaan kualiti udara di kebanyakan tempat semakin baik dengan Sri Aman tidak lagi berada pada tahap bahaya.

Menurut Ketua Sekretariat JPBN, Mejar Ismail Mahedin, Sri Aman pada 8 pagi ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara 239 iaitu sangat tidak sihat, berbanding 354 iaitu dalam kategori bahaya pada 12 tengah malam, semalam.

Kualiti udara di Kuching juga bertambah baik pagi ini dengan bacaan IPU 173 berbanding 203 yang direkodkan pada 12 tengah malam, semalam.

Lapan lagi kawasan lain kekal mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Samarahan (154), Sarikei (157), Sibu (166), Bintulu (120), Mukah (137), Samalaju (102), ILP Miri (120) dan Miri (125).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA