Sejumlah 588 buah sekolah rendah dan menengah di empat bahagian di Sarawak akan ditutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin buruk.

Jabatan Pendidikan Sarawak dalam satu kenyataan terbaharu lewat petang ini berkata penutupan sekolah di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong itu akan membabitkan 122,303 murid sekolah rendah dan 93,066 pelajar sekolah menengah.

"Sejumlah 265 buah sekolah rendah dan menengah di empat daerah dalam Bahagian Kuching iaitu Daerah Kuching, Bau, Lundu dan Padawan akan ditutup.

Penutupan ini melibatkan 129,832 orang murid.

Manakala 198 buah sekolah rendah dan menengah di tiga daerah dalam Bahagian Samarahan iaitu Daerah Samarahan, Serian dan Simunjan membabitkan 54,976 murid akan ditutup esok," kata kenyataan itu.

Bagi Bahagian Sri Aman, sejumlah 70 buah sekolah di Daerah Sri Aman dan Lubok Antu akan ditutup, penutupan melibatkan 15,570 orang pelajar, katanya.

"Sejumlah 47 buah sekolah rendah dan lapan sekolah menengah dalam Bahagian Betong juga akan ditutup melibatkan 14,991 pelajar," kata kenyataan itu.

Setakat 7 petang tadi, IPU di Sri Aman mencatatkan bacaan 166, Samarahan (140) dan Kuching (122), iaitu tahap tidak sihat.

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).