Enam bahagian di Sarawak berada dalam keadaan tidak sihat sejak awal pagi ini apabila indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan berkenaan mencatatkan bacaan tidak sihat

Sekretariat Jabatan Pencegahan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, enam kawasan yang mencatatkan peningkataan bacaan IPU tidak sihat itu ialah Sri Aman iaitu 166, diikuti Miri (133), Kuching (125), Sibu (123), Samarahan (120) dan Sarikei (109).

Katanya, terdapat tujuh kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 99 di Mukah, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (81), Bintulu (79), Samalaju (71), Sekolah Kebangsaan (SK) Baram (70), Kapit (65) dan Limbang (62).

“Terdapat empat titik panas dikesan di Sarawak setakat ini iaitu Betong, Serian, Bintulu dan Miri, manakala Kalimantan, Indonesia mencatatkan 455 titik panas.

“Turut dikesan terdapat titik panas ialah Sumatera, Indonesia iaitu tujuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, hasil tinjauan di Miri mendapati masih terdapat kawasan yang mengeluarkan asap menyumbang jerebu ketika ini.

Asap dikesan berpunca daripada aktiviti pekebun atau orang perseorangan yang tidak bertanggungjawab membuat pembakaran terbuka di kawasan High Tension Cable berdekatan Eastwood.

Turut berlaku kebakaran ialah kawasan industry kecil di Jalan Pasir, Kuala Baram.