Tutup

Jerebu: Henti tuding jari kepada pengeluar minyak sawit, negara membangun - CPOPC

Jerebu: Henti tuding jari kepada pengeluar minyak sawit, negara membangun - CPOPC
Pekebun kecil di Asia, Eropah dan kawasan lain di dunia menjadikan pembakaran sebagai antara amalan pertanian secara tebas bakar sejak berabad lamanya bagi tujuan membersihkan kawasan. - REUTERS/Fail
KUALA LUMPUR: Tindakan menyalahkan industri minyak sawit atas bencana jerebu yang sedang melanda Asia Tengggara ketika ini adalah tidak tepat memandangkan perladangan sawit secara amnya bukanlah punca pembakaran berkaitan, menurut Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Pembakaran di kawasan perladangan secara amnya merebak dari kawasan kejiranan, yang menjadi lokasi bermulanya pembakaran kecil, kata Pengarah Eksekutif, Tan Sri Yusof Basiron.
Beliau berkata salah anggapan sedemikian perlu diperbetulkan malah pendekatan reduksionis yang secara mudah menyalahkan peladang sawit adalah tidak tepat atau tidak konstruktif.

"Tindakan pihak bersikap pilih kasih dengan mengkritik negara-negara membangun dan pada masa sama 'menutup mata' terhadap kebakaran lebih besar (di negara lain) adalah sesuatu yang membimbangkan.
"Tindakan menyalahkan -- berbanding fakta sebenar -- tidak membantu, justeru itu pendekatan lebih serius dan beranalisis perlu ada, yang menyediakan sumber untuk mencegah kebakaran daripada merebak," katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Yusof berkata kebakaran hutan merupakan isu global, dengan memetik kebakaran besar-besaran di Rusia, Australia dan California, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Beliau berkata bagaimanapun tiada gesaan untuk menyekat atau boikot sama ada ke atas barangan Rusia, daging Australia atau tebu.

BACA: Jerebu: Siasat syarikat perladangan Malaysia - Lee Lam Thye 

Di Asia Tenggara, kerajaan -- khususnya Singapura dan Indonesia -- telah terbukti mengambil tindakan terhadap pihak terbabit seperti syarikat pengeluar pulpa yang menjadi penyebab sebahagian besar kebakaran di Sumatera.

"Sebaliknya yang terus menjadi sasaran utama kritikan dari luar rantau ini adalah produk minyak sawit -- bukannya produk kertas," katanya.

Yusof menjelaskan pekebun kecil di Asia, Eropah dan kawasan lain di dunia menjadikan pembakaran sebagai antara amalan pertanian secara tebas bakar sejak berabad lamanya bagi tujuan membersihkan kawasan manakala abu tumbuh-tumbuhan memberi manfaat nutrisi kepada tanah.

"Di AS contohnya, jenis pembakaran terbuka masih dijalankan di seluruh negerinya sebagai sebahagian kaedah pengurusan pertanian.

"Bagaimanapun di Asia Tenggara, memulakan pembakaran dengan kaedah itu secara amnya adalah haram dan di banyak negara, pihak yang bertanggungjawab akan dihukum secara keras.

"Ada negara yang memberi pengecualian, lazimnya dibenarkan berdasarkan permit, ini bukan tanggungjawab sektor minyak sawit," katanya.

Yusof berkata menyediakan alternatif bagi pertanian secara tebas bakar kepada pekebun kecil yang miskin adalah unsur penting untuk kemajuan masa hadapan.

"Pembangunan ekonomi, seperti dalam banyak bidang, harus dilihat sebagai penyelesaian yang berpotensi dan bukannya penyebab," katanya.

Mengenai usaha yang boleh dilakukan di rantau ini untuk mengurangkan dan akhirnya mengelakkan bencana jerebu, beliau berkata tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan berikutan musim kering yang berpanjangan, El Nino dan cuaca lebih panas yang mungkin berterusan.

"Bagaimanapun, tindakan sewajarnya telah diambil iaitu Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan telah mewujudkan pusat pemantauan, perkongsian data dan tindakan standard dalam keadaan darurat selain penubuhan panel pakar. (Ini) merupakan langkah penting ke arah pendekatan serantau untuk menangani masalah di peringkat itu," katanya.

Yusof juga menegaskan lebih banyak sumber diperlukan, dengan menekankan Indonesia, memandangkan negara itu memiliki keluasan tanah yang besar, untuk menangani cabaran institusi, seperti mengekalkan kelangsungan agensi pemadam kebakaran yang memerlukan bantuan dan sokongan dari negara rakan.

Beliau berkata negara-negara maju sebaliknya memiliki kapasiti bagi menangani kebakaran.

"California misalnya mempunyai 12,000 anggota pemadam kebakaran, 23 jentera dengan setiap satunya berkapasiti membawa 1,200 gelen air, 14 pesawat taktikal dan 12 helikopter UH-1H Super Huey ditempatkan di 23 pangkalan di negeri itu. Jelaslah banyak lagi tindakan yang perlu dilaksanakan (di Asia Tenggara)," katanya.

Beliau berkata pihak seperti Sekratariat ASEAN, Asian Development Bank dan kumpulan penyelidik sedang meneliti kaedah yang boleh dihasilkan menerusi penyelidikan dan kerjasama selain menambah baik perancangan mengenai perkara tersebut.

"Lebih banyak penyelesaian inovatif berasaskan teknologi juga perlu dibabitkan -- Malaysia mempunyai pesawat untuk pembenihan awam bagi menghasilkan hujan sekiranya keadaan berjerebu semakin buruk tahun ini.

"Kaedah menjatuhkan air dari udara atau 'water bombing', modifikasi cuaca dan operasi penghasilan hujan tiruan juga digunakan di wilayah Indonesia yang terjejas," katanya.

-- BERNAMA