Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah memulakan operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan kesan jerebu.

Operasi berkenaan bermula hari ini, berpangkalan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Dalam satu kenyataan MOSTI memberitahu, bagi Semenanjung Malaysia, operasi pembenihan awan dijalankan di sekitar kawasan Selatan Perak, Barat Pahang Lembah Kelang dan juga Negeri Sembilan.

Operasi bermula pada jam 4:10 petang dan berakhir pada pukul 5:40 petang.

Menurut MOSTI operasi berjaya menghasilkan hujan di kawasan sempadan negeri Selangor dan Pahang, kawasan selatan Perak dan juga beberapa kawasan di Lembah Klang.

Bagaimanapun operasi pembenihan awan di Sarawak bagi bahagian, Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei terpaksa ditangguhkan kerana tiada awan yang sesuai iaitu awan kumulus dan kumulus nimbus.

Usaha pembenihan awan ini akan diteruskan esok di kawasan yang API nya yang tidak sihat melebihi 72 jam.