Memorandum Persefahaman (MOU) antara Malaysia dan Indonesia berkaitan jerebu akan dimeterai tahun ini juga, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Di sebalik penangguhan kali kedua pertemuan antara beliau dan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Dr Siti Nurbaya Bakar, beliau tetap optimis MOU itu akan dapat dimeterai segera.

"Saya cukup yakin kita akan tandatangan dalam tahun ini," katanya pada sidang media lawatan kerja rasmi beliau ke Zoo Negara, di sini, hari ini.

Beliau yang enggan mengulas secara terperinci kandungan memorandum itu berkata, penguatkuasaan undang-undang, mengamalkan sifar kebakaran terbuka serta kerjasama dua hala apabila berlakunya kebakaran merupakan perkara yang diberi perhatian.

Memorandum itu akan ditandatangani Wan Junaidi mewakili kerajaan Malaysia, manakala kerajaan Indonesia diwakili Dr Siti Nurbaya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata penangguhan kali kedua yang dijadual Jumaat depan dengan Siti Nurbaya berikutan kesibukan rakan sejawatnya itu menguruskan kes kebakaran hutan dan pembakaran terbuka di negara itu yang kini mencecah tahap serius.

Bagaimanapun, katanya, penangguhan itu tidak akan menjejaskan komitmen kedua-dua pihak untuk bertemu bagi menyelesaikan isu jerebu yang melanda Malaysia dan Indonesia pada setiap tahun.

"Pada mulanya saya dijadualkan bertemu rakan sejawat di Indonesia 18 September lalu, namun ditangguhkan kerana beliau berada di luar negara.

"Pertemuan itu ditangguhkan kepada 25 September, namun terpaksa ditangguhkan lagi kerana mereka sedang sibuk menyelesaikan kes jerebu yang semakin serius di sana pada ketika ini. Ia ditangguhkan pada tarikh yang belum ditetapkan.

"Namun, saya yakin pertemuan itu tetap akan diadakan pada tahun ini bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyelesaian masalah jerebu," katanya.