Ahli akademik turut membantu dalam krisis jerebu rentas sempadan yang menyelubungi Malaysia dan negara-negara jiran.

28 universiti negara jiran Indonesia bekerjasama dengan institusi pengajian tempatan sejak Ogos lalu dalam menyelesaikan krisis jerebu yang masih berpanjangan dan berulang setiap tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, ahli akademik berperanan besar memberi kefahaman kepada masyarakat awam mengenai situasi yang dihadapi negara masa kini.

"Setiap episod besar banyak yang boleh kita pelajari. Episod kali ini kita belajar sesuatu. Peranan pentadbir, ahli politik, pembuat dasar memang besar tetapi peranan mereka yang menyebarkan idea, maklumat dan mendidik masyarakat terutama kalangan akademik sangat penting kerana mereka ini memberi dimensi baru kerana rakyat mula menyebut tentang PM2.5," katanya dalam Analisis AWANI pada Selasa.


Menurut beliau, masyarakat perlu diberi pengetahuan dalam akademik mengenai apa perbezaan PM2.5 dan PM10 dalam penilaian kualiti udara kerana wujudnya perbezaan ketara dalam bacaan indeks pencemaran udara (IPU) antara negara berikutan kaedah pengukuran kualiti udara berbeza.

Tambahnya, ahli akademik tidak terlalu birokrasi dan lebih berperanan memberikan impak besar kepada tindakan yang bakal diambil oleh masyarakat serta perlu bekerjasama untuk berkongsi maklumat.

Ada tiga langkah yang diamalkan oleh ahli akademik iaitu menerusi pengajaran, penyelidikan dan pengabdian kepada masyarakat dan menerusi ilmu yang jelas maka sumbangan kepada masyarakat dapat dikenalpasti serta dilaksanakan segera bagi mengatasi krisis jerebu ini.

Malaysia juga akan berkongsi kepakaran mengurus alam sekitar seperti pengurusan tanah gambut tanpa melibatkan pembakaran terbuka agar ia dapat dilaksanakan di negara jiran.

Penggemblengan bersama antara negara jiran ini sedang dirangka bagi peringkat serantau dalam mengatasi pencemaran alam sekitar yang kian meruncing serta menjejaskan kesihatan serta sektor lain.